Sunday 16 August 2015

Apa itu KEMERDEKAAN?


Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan.

Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera.

SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA

TANGGAL 31 Ogos adalah tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.


Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.

Pengenalan (Kronologi Kearah Kemerdekaan) bermula dari tahun 1945

1945 Britain kembali memerintah Malaya selepas pendudukan Jepun berakhir.

10  Oktober 1945 Rancangan Malayan Union (Rancangan Kesatuan Tanah Melayu) diumumkan secara rasmi di Parlimen British.Malayan Union Digubal dengan tujuan untuk mewujudkan satu sistem politik  dan kerajaan bercorak “Kesatuan”. Kerajaan British berhasrat untuk ubah taraf Negeri‐Negeri Melayu daripada negeri‐negeri yang bernaung kepada tanah jajahan British.
Rancangan Malayan Union merupakan satu peristiwa yang sangat penting dalam sejarah negara Malaysia kerana ia menghidupkan dan menyemarakkan semangat nasionalisme orang Melayu .Ia juga merupakan titik permulaan perpaduan orang‐orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

28 Disember 1945 Ketidakpuasan masyarakat Melayu terhadap Malayan Union. Perhimpunan raksaksa dihadiri oleh 10,000 rakyat Tanah Melayu yang membawa sepanduk anti‐Malayan Union.

11 Mei 1946 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau lebih dikenali sebagai UMNO ditubuhkan dibawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar.

Tujuan penubuhan UMNO
*      Untuk menyatukan orang‐orang Melayu bagi menentang Malayan Union.
*      Memelihara hak dan kepentingan orang‐orang Melayu dan kedaulatan Raja‐Raja Melayu.
*      Memperjuangkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. 8 Ogos 1946 Kongres India Tanah Melayu (MIC) ditubuhkan. 7 Disember 1946 Setiausaha Tanah Jajahan British mengumumkan bahawa Malayan Union akan dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Negeri‐ Negeri Melayu.

21 Januari 1948 Malayan Union dibubarkan.UMNO berjaya menggagalkan rancangan Malayan Union.UMNO seterusnya membantu pihak British menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

1 Februari 1948 Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan rasminya bagi menggantikan Malayan Union.

23 Jun 1948 Darurat diisytiharkan di seluruh Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

27 Februari 1949 MCA (Persatuan Cina Malaya) ditubuhkan.

1950 Rancangan Briggs  diperkenalkan. (satu rancangan penempatan semula setinggan yang tinggal di pinggir hutan dengan tujuan untuk memutuskan bekalan makanan kepada pengganas komunis dan melumpuhkan kegiatan mereka).

Januari 1952 Parti Perikatan ditubuhkan. Dianggotai oleh dua buah parti terbesar di Tanah Melayu iaitu UMNO dan MCA. Perikatan dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952.

1955 Parti MIC menyertai Parti Perikatan.
Objektif utama Parti Perikatan ialah menamatkan keadaan darurat, memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan memenangi Pilihan Raya Umum 1955.

27 Julai 1955 Pilihanraya Umum yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu.Parti Perikatan (terdiri daripada Parti UMNO, MCA & MIC) mencapai kemenangan majoriti menang 51 kerusi daripada jumlah 52 buah kerusi yang dipertandingkan.Parti Perikatan membentuk sebuah kerajaan diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Dalam kempen pilihan raya umum 1955, Parti Perikatan telah mengemukakan satu dasar politik iaitu: kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu mesti diperolehi dalam tempoh empat tahun. Namum demikian, dalam tempoh dua tahun Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan!

Januari 1956 Rundingan Kemerdekaan di London. Satu rombongan diwakili oleh pemimpin‐pemimpin Parti Perikatan dan wakil Raja‐Raja Melayu berangkat ke London.Matlamat utama delegasi ialah merundingkan kemerdekaan PTM dengan Kerajaan British.

8 Februari 1956 Perjanjian Merdeka ditandatangani.

Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dengan syarat:
*      Parti Perikatan tidak akan mengambil alih harta benda atau perniagaan British di Tanah Melayu.
*      Rakyat British hendaklah diberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi di PTM.
*      Pangkalan Tentera British di PTM dikekalkan supaya British dapat melindungi negara ini dan menjaga kepentingan mereka di kawasan serantau.

Sebagai persiapan bagi mencapai kemerdekaan,  Persekutuan Tanah Melayu mesti mempunyai sebuah perlembagaan Suruhanjaya Reid yang dipengerusikan oleh Lord Reid, dilantik untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

20 Februari 1956 Pengisytiharaan tarikh kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman di satu perhimpunan raksaksa di Padang Pahlawan Bandar Hilir, Melaka.

Februari 1957 Suruhanjaya Reid mengumumkan laporan atau Rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk perbincangan umum.

31 Ogos 1957 Pada jam 12.00 tengah malam, bendera Kerajaan British (“Union Jack”) diturunkan di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka) di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan dengan rasminya.

Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Dokumen‐dokumen pengisytiharaan merdeka disampaikan kepada Perdana Menteri PTM Tunku Abdul Rahman Putra oleh wakil Queen Elizabeth, Ratu British.